Inspirasi Pencarian Keabadian Cinta dalam Novel Isabella.
Bagi pembaca dan peminat novel generasi
baru di Malaysia, Isabella mungkin merupakan novel yang agak asing bagi
mereka.
Mereka mungkin lebih akrab dengan lagu Isabella nyanyian
kumpulan Search berbanding karya tulen garapan novelis Islam, Maulana
Muhammad Saeed Dehlvi ini.
Novel Isabella ini bukanlah novel cinta
biasa, ia merupakan perihal ‘cinta luar biasa’, paparan mengenal hakikat
keabadian ‘cinta sebenar’.
Ia seumpama diberikan nafas baru untuk tampil lebih menarik minat pembaca generasi baru yang dahagakan koleksi novel bertemakan teologi.
Novel ini digarap oleh penulisnya di dalam bahasa Urdu tetapi kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (15 Ogos 1974) oleh Rahm Ali Al-Hashmi dengan judul Isabella dan seterusnya diterjemahkan ke bahasa Melayu (Jun 1988) oleh sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain.
Seindah namanya, Isabella bukanlah
peribadi yang asing dalam sejarah perkembangan Islam di Sepanyol,
terutamanya dalam bidang perbandingan agama Islam dan Kristian di bandar
Cordova – bandar sejarah Sepanyol dan merupakan bandar tercantik di
Sepanyol.
Membaca setiap rentetan kisah Isabella yang penuh dramatik
berbaur tragik ini bagaikan membawa kita menelusuri segenap sudut dan
tempat peninggalan sejarah kegemilangan Islam di Cordova.
Ia
mengingatkan kita pada istana al-Hamra, Qasrul Syuhada (makam para
syuhada), masjid Cordova dan juga taman tercantik di Sepanyol iaitu
Rabat Yamani.
Ya, hidayah Allah merubah segalanya.
Begitulah yang terjadi kepada Isabella.
Tidak ada sesiapa pun menyangka,
Isabella yang pada mulanya adalah seorang penganut Kristian yang tegar
dan patuh pada agamanya boleh memeluk agama Islam yang begitu dibenci
oleh penganut Kristian pada waktu itu.
Kebencian yang memuncak pada
waktu itu sehingga hampir-hampir meragut nyawa Isabella sendiri, sewaktu
hidayah Allah menyapa lubuk hatinya yang paling dalam.
Isabella pada
usia mudanya sentiasa mempelajari dan mengkaji tentang agamanya,
Kristian.
Beliau sentiasa cuba untuk mencari kebenaran dalam agama
Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama Kristian.
Namun, semakin dikaji agama berasaskan
fahaman triniti itu, sinar Islam dan hidayah Allah makin memenuhi lubuk
jiwanya.
Di ketika kebenaran Islam sudah kukuh dalam dirinya, waktu itu
tidak ada apapun yang mampu menggugahnya, walaupun beliau menghadapi
saat-saat getir dan penuh tragik.
Kekentalan imannya tidak mampu
dirubah. Isabella sudah nekad dengan keislamannya.
Pengharapan penuh
hanya pada Allah makin mengental liat di sanubarinya.
Penyeksaan demi
penyeksaan yang dihadapi Isabella mengingatkan kita pada siri-siri
kekentalan iman para mujahidah Islam seperti Sumayyah dan Asiah.
Perjuangan mereka cukup-cukup membuatkan hati ini berasa kerdil sekali.
Peralihan kiblat akidahnya itu
sekali gus menjadikan beliau komited dan tegas memperjuangkan ajaran
Islam hingga ke akhir hayatnya.
Itulah hidayah Allah – hidayah yang
tidak mengenal siapa pemilik hati.
Sangat beruntung siapa yang terpilih
mendapat hidayah Allah. Ia bagaikan mendapat suatu anugerah yang maha
hebat.
Tidak ada yang setanding dan sehebat hidayah kurniaan Allah.
Selepas menganuti dan menghayati agama baru, Islam yang sehebat namanya –
Isabella bukan sahaja terkenal sebagai seorang muslimah yang menjadi
ikutan dan pedoman ramai pemudi Islam.
Beliau juga terkenal sebagai
seorang tokoh perbandingan agama yang ulung, bahkan seorang ahli hadis
di Cordova.
Melalui kisah penuh bermakna ini, sudah pasti nama beliau
akan tercatat sebagai seorang serikandi Islam agung sepanjang zaman,
yang akan sentiasa dekat di hati dan menjadi ingatan ramai orang.
Isabella sudah pun menemui keabadian
‘cinta’ melalui kembara keimanannya. Beliau sudah menemui cinta yang
tidak ada bandingan dan gantinya.
Justeru, bagaimana pula dengan kita?
Ayuh, mulai dari sekarang – hayatilah sepenuh jiwa karya
sehebat dan seagung Isabella ini.
Moga kita semua akan mendapat cetusan
semangat dan menemui nafas baru.
Selamat membaca dan semoga istiqamah menelusuri lorong-lorong keimanan.
Coretan Kasih: atikah_humairah@wehdatul_fikrah (^_^)
No comments:
Post a Comment