SaHaBaT FiLLaH

Wednesday, December 28, 2011

DAKWAH : KEPELBAGAIAN JEMAAH...

Berlainan warna, tetapi tetap sama.

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kita panjatkan buat ALLAH SWT yang telah memberikan segala nikmat yang kita nikmati di saat ini. Semoga di setiap saat dan ketika kita melakukan setiap amal hanya keranaNya demi mensyukuri nikmat-nikmatNya ini.

Dakwah merupakan sesuatu yang wajib buat semua mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim. Seorang ulama’ dakwah pernah berkata, “Barangsiapa yang mengatakan tiada tuhan selain ALLAH dan Muhammad itu persuruh ALLAH, maka dia adalah seorang da’ie.” ALLAH telah menegaskan akan tanggungjawab berdakwah ini dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran. Antaranya :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." [Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Kini ramai golongan yang mula menyahut seruan ALLAH ini, terutamanya daripada kalangan remaja, khususnya mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Dan setiap individu pastinya akan cuba untuk menjalankan penyeruan kepada kebaikan (amar ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) ini dengan cara yang paling diyakininya. Keadaan ini akan menghasilkan variasi gerakan dalam penyeruan  ke jalan yang suci ini. Namun jika tidak dicermati, sesuatu yang baik ini akan kelihatan sebagai sesuatu yang buruk, malah mungkin boleh mencetuskan perpecahan yang tidak kita ingini.
 
Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai. Cara yang berbeza tetapi matlamat yang sama.


Kepelbagaian Jemaah

Dalam mengharungi kehidupan kampus, kita perlu menyedari akan hakikat bahawa ada ramai pihak yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam. Dan setiap daripada mereka mempunyai gerak kerja serta sudut pandang tersendiri dalam cara-cara untuk menyebarluaskan fikrah Islamiah kepada masyarakat.

Ada yang berpandangan dakwah perlu dimulakan dengan mempunyai kuasa, agar kita dapat menguasai masyarakat kampus, lalu dengan kuasa itu kita akan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Ada yang mengatakan kita perlu terus menerus menceritakan kelebihan amal kebaikan, ganjaran-ganjaran pahala yang bakal diterima atas ibadah yang dilakukan agar masyarakat akan tertarik kepada kebaikan dan dengan sendirinya meninggalkan keburukan.

Ada pula yang berpendapat masyarakat ini perlu ditarbiyah dengan kefahaman islam dengan baik, lalu dengan kefahaman dan pengamalan Islam itu masyarakat akan mengubah kehidupan mereka ke arah kehidupan yang sesuai dengan syariat dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Banyak lagi fikrah-fikrah yang kita lihat. Bahkan mereka yang kelihatan mempunyai fikrah yang sama juga kita akan lihat bahawa mereka mempunyai cara mengatur organisasi yang tersendiri. Sehingga kita akan melihat begitu banyak gerakan Islam yang ada. 

Lalu timbullah persoalan,

“Bolehkah banyak-banyak jemaah macam ni? Nanti orang-orang bukan Islam lihat Muslim ini lemah. Nak menegakkan agama sahaja tidak bersatu."

Sebenarnya banyaknya jemaah yang wujud sekarang ini bukanlah sebuah kesalahan ataupun tanda-tanda perpecahan. Banyaknya jemaah ini menandakan ada ramai orang yang ingin menyahut seruan ALLAH ini:



"...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan..." [Q.S. Al-Baqarah, 2:148]

Masing-masing ingin melakukan perbaikan umat yang terbaik. Mereka yakin dengan jalan perjuangan mereka. Mereka sama-sama ingin menjadi mereka yang paling diredhai ALLAH. Bukankan ini baik?

Berlumba-lumba untuk menjadi Hamba ALLAH & Pejuang Agama yang terbaik.

Menyikapi Kepelbagaian

Untuk menyikapi kepelbagaian jemaah yang ada ini, eloklah kita menelusuri buku Fiqh Al-Ikhtilaf  (Fiqh Perbezaan) pendapat oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhwi. Dalam mukaddimah bukunya beliau menulis:
"Hati saya resah jika musuh itu datang dari dalam tubuh kebangkitan Islam itu sendiri. Satu gerakan Islam melancarkan makar terhadap gerakan Islam yang lain.
Saya pun tidak resah bila di dalam tubuh kebangkitan Islam terdapat pelbagai madrasah, kelompok, atau jemaah, yang masing-masing mempunyai manhaj yang tersindiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi, sesuai dengan sasaran, skala prioriti dan tahapan mereka.
Saya tidak termasuk orang-orang yang bermimpi menginginkan dan menyerukan kepada satu jemaah atau satu gerakan Islam yang akan menghimpun semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu pimpinan. Terlalu banyak masalah yang merintanginya di samping impian yang memang tidak kena pada tempatnya.”
(Fiqh Ikhtilaf, Mukaddimah, m/s 10)
Seperti yang dinukilkan oleh beliau, setiap jemaah mempunyai gerak kerja dan strategi dakwah yang cukup berbeza malah cara menguruskan organisasi yang tersendiri. Bagaimana kita mengharapkan mereka ini dapat berkerja dalam satu organisasi dengan satu ketua?

Sikap yang perlu ada dalam menanggapi kepelbagaian :

Warna yang berbeza akan melakarkan warna yang indah.


1.   Menerima konsep kepelbagaian jamaah Islamiyyah.

Kepelbagaian jemaah tidak akan menjadi masalah apabila semua pihak  mampu menyikapi perbezaan ini dengan baik. Kita perlu mengiktiraf akan adanya kepelbagaian jemaah dan mereka itu memang ‘layak’ untuk wujud. Masalah akan muncul apabila ada individu-individu atau mana-mana pihak menjadi taksub dan fanatik akan jemaahnya sendiri sehingga menikam dan mengecam orang lain yang bukan daripada jemaahnya. Hanya dia yang benar, yang lain salah dan tidak perlu wujud. Semua perlu menyertainya.

“Kami yang paling awal ada di sini. Kamu masuk tidak ketuk pintu!”

Jadi, jika kamu yang paling awal berdakwah di sini, maksudnya tidak boleh orang lain berdakwah sama? Orang yang sudah punya cara gerak kerja yang diyakininya hanya boleh duduk diam dan tidak berdakwah? Semua orang perlu menyertai kamu walaupun tidak setuju dengan kamu? Adilkah sedemikian?

Sahabatku, janganlah bersikap seperti ini. Fenomena ini hanya menambahkan bilangan musuh dalam berjuang. Tawarkan sahaja kelebihan yang ada pada kita, dan biarkan orang lain memilih yang mana sesuai dengan caranya. Bayangkan jika kita yang menjadi pemula baru bagi fikrah dakwah yang kita bawa di tempat kita. Kita amat meyakini cara kita, tetapi kita dipaksa untuk mengikuti gerakan lain yang kita tidak yakin dengan cara perjuangannya. Mahukah kita? Terimalah mereka seadanya.

Mulakan perubahan dengan menerimanya.

2.  Menghormati di antara satu sama lain dan menjauhkan prasangka buruk.

“Dia rampas mad’u ana!” seorang yang berkopiah mengeluh.

“Ana yang mula-mula dekati adik tu.” Kata seorang wanita bertudung labuh.

“Ana harap enta tidak ‘mengganggu’ adik-adik yang telah bersama dengan jemaah kami. Mereka semua sudah berkomitmen dan bersedia untuk ditarbiyah bersama-sama jemaah kami.” Kata presiden sesebuah jemaah kepada presiden jemaah yang lain.

Sebenarnya saya mahu tergelak mendengar perbualan-perbualan ini. Bayangkan jika adik-adik yang kononnya ‘ditarik’ daripada jemaah mereka itu berada di hadapan, adakah anda mahu berkata-kata seperti itu?

Ketahuilah pintu dakwah adalah Al-Fahmu, yakni kefahaman. Seseorang yang sudah faham dan yakin dengan ideologi pergerakan serta perjuangan sesebuah gerakan dakwah itu sudah pasti akan menyokongnya tanpa berbelah bahagi. Terjadinya fenomena ‘Lompat Jemaah’ ini adalah kerana kurangnya akan kefahaman yang diberikan. Jadi salahnya bukanlah pada jemaah yang menjadi pilihan mad’u kita itu, tetapi diri kita sendiri. Bersangka baiklah kepada mereka dengan merasakan bahawa kita masih belum mampu memberi pemahaman baik kepadanya, lalu dia memilih gerakan yang menurutnya lebih baik.

Ketidakfahaman membawa kepada keraguan.

Saya sering mengatakan kepada mad’u-mad’u saya yang bertanya tentang banyaknya jemaah yang ada dan bolehkah jika ingin mengikut jemaah mereka?
“Antum semua tahu di Malaysia ini ada macam-macam jemaah. Ada PAS, JIM (IKRAM), ISMA, ABIM, TABLIGH, HALUAN, PEMBINA, KARISMA dan macam-macam lagi. Semua mereka tu baik sebab mereka berdakwah untuk mengajak manusia mendekati ALLAH.

“Tetapi ana tidak bersama dengan mereka sebab ana cuba untuk memperbaiki umat dengan cara yang terbaik. Ana tidak kisah anak halaqoh nak ikut mana-mana jemaah yang ada, tetapi ana akan cuba meyakinkan mereka bahawa jalan yang ana tempuhi ini adalah jalan yang terbaik untuk mereka menjaga iman mereka serta menggerakkan dakwah.


“Jika mereka tidak mahu memilih untuk bersama dengan ana, ana akan menganggap mereka memang tidak ditakdirkan untuk berada dalam jalan yang ana pilih ini dan ana akan terus berdakwah kepada orang lain dengan cara yang sama.”
Lalu ada yang berkata, “Wah, sombongnya, macam jemaah dia yang paling baik!”

Maafkan saya, bagi saya ini bukanlah suatu kesombongan, tetapi berfikir secara rasional. Apakah rasionalnya anda untuk bersama dengan gerakan yang anda ikuti sekarang tetapi anda tidak yakin bahawa gerakan anda sedang melakukan yang terbaik? Lebih baik anda tinggalkan gerakan itu dan ikut mana-mana gerakan yang anda rasa lebih baik.

Kefahaman yang benar membentuk fikrah yang tidak tergoyahkan!

Meyakini bahawa jemaah kita adalah jemaah yang terbaik adalah sesuatu kewajaran. Namun kemudiannya mengaku kepada semua bahawa jemaah kitalah yang terbaik mengatasi jemaah-jemaah lain adalah suatu tindakan yang berlebih-lebihan.

Islah nafsak wad'u ghairak.

Wahai Pendakwah, Sedarlah!

Sedarlah, banyaknya jemaah yang muncul sebenarnya memudahkan urusan kita. Semakin banyak pilihan yang boleh diikuti oleh masyarakat sebelum mereka terjebak dalam kerosakan moral yang jauh lebih membimbangkan. Jika mereka tidak bersama kita, maka dia boleh bersama dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam. Jika setiap pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan lahirlah generasi baru dalam umat ini. Generasi pendakwah yang semuanya bersama-sama berusaha dengan matlamat yang sama. Kita tetap bersama dalam penyatuan matlamat.

Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan.

Lalu apakah yang kita lakukan? Sibuk menyalahkan antara satu sama lain? Lalu umat terus tenggelam dalam kegelapan jahiliyah yang tidak berkesudahan. Di mana kita untuk menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?
 
 Amar makruf Nahi Munkar!!!

Kesimpulan : Jadilah Doktor Kepada Umat.

Berdakwahlah bagaikan doktor. Doktor yang diamanahkan dengan negara yang penuh dengan pesakit-pesakit yang kronik. Sudah pasti kita tidak mampu menyelamatkan kesemua pesakit-pesakit itu. Dan kita perlukan bantuan doktor-doktor lain, meskipun mereka tidak sama tempat belajarnya dengan kita dahulu, dan tidak sama teknik pengubatan yang digunakan. 

Jika pesakit yang ingin kita ubati telah diuruskan oleh doktor yang lain, biarkan sahaja. Masih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kita. Tidak kisah siapa yang mengguruskan mereka, yang penting mereka semua dapat diselamatkan.

Tidak mungkin kita akan bergaduh dengan doktor yang lain semata-mata berebut seorang pesakit. Fahamilah keadaan masyarakat. Masih ramai yang perlu diselamatkan. Masih ramai.

Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!

Saturday, December 17, 2011

INDAHNYA UKHWAH KERANA ALLAH!

 
"Ukhwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir, tetapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya (sahabatnya) didalam doanya..." {IMAM AL-GHAZALI)

"Sahabatku. Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dengan amaran ALLAH... Jika hari ini aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta... Jika ku lemah tidak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan Syurga... Jika antara kita ada tembok yang memisahkan, ajaklah aku meleraikan segera... Jika pernah hatimu terluka, luahkan agar aku berubah menjadi lebih baik... Jika esok ku lena tanpa jaga, iringilah doa dengan Al-Fatihah. Berjanjilah sahabatku, ukhwah kita untuk selamanya dan maafkanlah segala kesalahan dosaku terhadapmu kerana itu kunci utama untukku ke Syurga..."

"Kerana IMAN! Kita berukhwah umpama seindah taman disyurga...Kerana ISLAM! Kita berukhwah umpama sekuat roh berpadu...Kerana AKHIRAT! Kita berukhwah demi Syurga yang dirindui itu...Kerana ALLAH SWT! Sebenarnya kita tetap berukhwah untuk melamar redha dariNya..."


Nukilan ini istimewa untuk adikku yang tersayang, ALIAH FATIN IRWANI ABDUL RAZAK.
Mengimbau kembali saat kali pertama ana bertemu dengannya sewaktu program Orientasi "Kem Jati Diri" Bulan Sabit Merah (BSM) USIM. Melihat akan akhlak dan sifatnya, seolah-olah mengingatkan ana akan sahabat karibku, NOR HINAS BT IBRAHIM & NOR ANISAH BT ABU HANIPAH & NOR HAFSAH MOHD NORNURUL MARDIAH BT FADZIL. Teringat kembali mesej-mesej dari adikku saat permulaan persahabatan kami :

"Salam kak, tolong doakan saya hidup di USIM untuk berjuang dijalan ALLAH. Takut sangat kecundang. Harap hati ini thabat dijalanNYA..."

"Keberkatan dan kemanisan dalam perjuangan hanya untuk mereka yang MAMPU bermujahadah dalam kepayahan, berkorban dalam tangisan dan rela imannya diuji dalam keperitan...Biarlah kebenciaan manusia kita peroleh, tetapi tidak kebenciaan dari Penciptanya...Pandangan ALLAH itu lebih utama..." Mesejnya ku balas dengan kata-kata daripada Naqibah usrahku.

"Benar kak, hati ini ketandusan pembakar semangat juang, hati ini merindui dakapan sahabat-sahabat yang berjuang kerana ALLAH dijalanNYA. Hati ini kosong terasa. Rasa seolah jauh dari ALLAH, dari tarbiyah jiwa, harap hati ini dapat lunak kembali, sujud padaNYA. Terima kasih kak, sayang kak kerana ALLAH. Harap ALLAH meredhai kita dan keluarga."


Alhamdulillah, ana dipertemukan dengan seorang sahabat & adik yang sefikrah dalan perjuangan. ALLAHU AKBAR! Bersyukur kepada ALLAH kerana mempertemukan kami di bumi USIM yang barakah. Syukran jazilan atas doanya, Aliah. Uhibbuki lillah aidhon, ukhti. Moga ALLAH sentiasa thabatkan dan istiqomahkan hati-hati kita di jalan juangNYA, Ameen.




Indahnya ukhwah kerana ALLAH... Ketika Cinta Berusrah...

"Senyum Biar Pahit...Syukran kak, menjadi sahabat yang owez mengingatkan saya ujian dan hikmah itu milik ALLAH, ketenangan dan kebahagiaan pun miliknya. Semoga ukhwah fillah illal jannah, uhibbuki lillah ya ukhti! Syukur ALLAH bagi jalan dalam BSMM sebagai medan tarbiyyah untuk diri ini, even bukan SPMM - Sayang akak semua..." Tagging : Nurul Atikah Razali & Nurul Atiqah Mohamad Rashid...Uhibbuki lillah, Aliya Fatin...

"Jika kita mengetahui betapa besar pahala memikir,merancang,membantu,menyusun ISLAM...Nescaya kita tidak akan tinggalkan kerja ini walau sesaat...Jika kita mengetahui betapa azabnya tinggalkan AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR...Nescaya kita akan menghargai sesaat pemberian ALLAH...Jika kita mengetahui betapa tingginya nilai UKHWAH PERSAHABATAN diatas dasar AQIDAH ISLAMIAH...Nescaya kita akan menutup lubang-lubang yang akan merosakkan ukhwah...Jika jasad menongkah arus menggerak TARBIAH memelihara AGAMA ISLAM,maka biarlah HATI kita bersama melaluinya...Tinggi harapan agar ALLAH mempertemukan kita semua yang berada diatas jalan juangNYA di SYURGA nanti..."
 

Nikmat SYURGA terjamin atas Cinta kerana ALLAH...

Abu Saleh meriwayatkan, Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Demi Zat yang nyawaku berada dalam genggamanyaNYA, kamu tidak akan masuk Syurga, kecuali telah beriman. Dan kamu belum disebut beriman, kecuali saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahu amalan yang apabila kamu kerjakan dapat menzahirkan rasa saling cinta antara kamu?" Sebarkan salam antara sesama kamu..." {Hadis Riwayat Imam Muslim}

Kita tidak akan dapat masuk Syurga ALLAH kecuali bila kita mengerti apa sebenarnya IMAN.Kita belum disebut insan beriman yang sesungguhnya, apabila tidak sudi mencintai sesama MUSLIM sepertimana kita mencintai diri sendiri.Cintailah sesama Muslim seperti kita mencintai diri kita sendiri.


7 Golongan yang dilindungi oleh ALLAH pada hari Akhirat...

Hafash ibnu Ashim berkata, Abu Hurairah berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Tujuh jenis manusia yang dilindungi ALLAH dengan naungan (perlindungan) pada hari yang tiada naungan melainkan naungan ALLAH. Pemimpin yang adil, Pemuda yang besar dalam ibadah kepada ALLAH, Orang yang hatinya menyatu dengan masjid, Dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, berkumpul kerana ALLAH dan berpisah kerana ALLAH, Orang yang bersedekah dengan sedekah kemudian dia merahsiakan hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan dengan tangan kanannya, Orang yang diajak oleh wanita yang berketurunan baik dan cantik kemudian dia berkata, aku takut kepada ALLAH dan Orang yang menyendiri berzikir kepada ALLAH kemudian matanya menitiskan air mata oleh sebab rasa takut kepada ALLAH..." 
 {Hadis Riwayat Imam Bukhari}


Halaqoh ini adalah Halaqoh Cinta Kita...

Jika sepasang kekasih berdating di taman,
Kita tidak sabar-sabar dating dalam Halaqoh...

Jika sepasang kekasih bercumbuan dalam sembunyi, dibawah cahaya rembulan, berdua-duaan, jauh dari orang,
Kita berkasih sayang dalam sembunyi dan terang, tanpa rasa takut dan bimbang...

Jika sepasang kekasih sering bermain madah berhelah,
Kita berhibur dengan madah kalamullah...

Jika sepasang kekasih sering memadu kasih atas rangsangan nafsu,
Kita berkasih atas ukhwah fillah, bebas dari dorongan nafsu semata...

Jika sepasang kekasih akan menunaikan apa sahaja kemahuan kekasihnya,
Kita pula berusaha sedaya upaya menunaikan apa sahaja kemahuan Pencipta kita...

Jika sepasang kekasih sentiasa saling menjaga hati,
Kita sentiasa saling menjaga akhlak  dan pekerti sesama, saling menasihati agar makin berkualiti...

Jika sepasang kekasih merasakan dunia ini mereka yang punya,
Kita sentiasa menyedari hakikat dunia ini ALLAH yang punya...

Jika sepasang kekasih sanggup korbankan harta , keluarga dan maruah demi cinta agung kekasihnya,
Kita sanggup korbankan segala-galanya demi cinta agungNYA, ALLAH SWT...
Dalam masa yang sama, kita mencintai keluarga dan memelihara maruah setingginya...

*Tribute : NOVEL TAUTAN HATI KARYA FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN

Uhibbuki lillah, ukhti...Sayang awak kerana ALLAH...Barakallahu fikum...

*Syukran jazilan, Aliah atas pemberian buku "BERCINTA KERANA ALLAH..."

Wednesday, December 7, 2011

SAYA MALU BERDAKWAH TIADA ILMU...


SEJARAH 90-an

“Ana menyeru kepada semua sahabat sekalian agar berusaha dan mengoptimakan ruang dan peluang dalam memaksimakan kegiatan dakwah baik di dalam kampus mahupun dalam lapangan masyarakat”, ucap Presiden Persatuan Mahasiswa Islam dengan penuh bersemangat.

“Ahhh!! Aku ni bukan macam dia. Dia siapa? Aku siapa? Dia presiden, aku pengikut je. Tak pandai bercakap. Ilmu pun takde. Setakat dengar, meramaikan majlis ilmu boleh la. Kira menyumbang jugak pada agama”, bentak si muslimin.

“Ana ni muslimat. Ana malu cakap depan-depan, lebih lagi kalau cakap depan muslimin. Tak jadi keruan ana dibuatnya”, komen seorang muslimat.


SEJARAH 70-an

Pada era 70-an ramai ustazah yang tidak memakai tudung dan ada pula isteri ustaz termasuk ustaz pondok yang tidak memakai tudung. Ramai yang ada ilmu agama tapi pengamalan agamanya sekadar di masjid dan di surau. Ketika majilis pernikahan juga terdapat pelbagai program yang tidak Islamik.


MENTALITI DAN SIKAP


DAKWAH adalah kalimah agung yang menjadi corak kehidupan para dua'at. Dakwah juga menjadi “berisi” apabila intinya adalah tarbiyyah. Namun, tidak dinafikan hari ini ramai anak muda yang tidak berminat dengan dakwah. Cukuplah sekadar menghadirkan diri ke program dan seminar atau mungkin usrah. Selesai. Tidak berminat menyertai dakwah, apatah lagi gerakan dakwah. 
"Asyik-asyik dakwah. Bosan juga mendengarnya.
Masuk univerisiti untuk belajar bukan berdakwah. Ingat pesan mak ayah. Tak reti bersyukur langsung."

Kenapa marahkan dakwah?
Renungkan sejenak.

Jika bukan kerana dakwah, saat ini kita mungkin bukan Minhad, tetapi Michael. Bukan Khadijah, tetapi Katy. Ertinya kita bukan seorang Muslim. Mungkin hari ini kita sedang menyertai American Idol. Mungkin juga sedang mabuk arak. Atau sedang berada di kota metropolitan Jepun, membilang hari untuk membunuh diri akibat tekanan hidup.


Kita mungkin seperti mereka jika bukan kerana DAKWAH. Setuju?

Kita tidak mengenal ALLAH, RasulNya dan Quran jika bukan kerana DAKWAH. Kita mungkin penyembah matahari, patung seribu tangan, atau roh nenek moyang (nauzubillahiminzalik). Sebaliknya, hari ini kita bersujud para Rabb yang Esa, ALLAH SWT. Kerana berlakunya fenomena dakwah lalu kita berpeluang mengucap syahadah dan sehingga kini masih lagi subur dalam keimanan.

Alhamdulillah. Selautan syukur pada ALLAH.
Apakah antum bersyukur menjadi MUSLIM? Lafazkan Alhamdulillah.

Dan mungkin kita akan tertanya-tanya kenapa ada ilmu agama namun pengamalan Islamnya tidak menyeluruh?

Jawapannya tidak lain ialah kerana tidak adanya fikrah. Inilah yang berlaku ketika as-syahid Imam Hasan Al-Banna memulakan gerakan dakwah di Mesir bukanlah tiada Al-Azhar sebagai gedung ilmu dan ulama, tetapi yang tiada ialah fikrah dakwah wal haraki. Mempunyai ilmu tanpa fikrah dakwah wal haraki tidak mendatangkan manfaat kepada kehidupan diri dan masyarakat.


DIMENSI DAKWAH RASULULLAH

Rasulullah diutus ke dunia kerana urusan dakwah. Kita harus faham perkara ini. Bahkan empayar selepas kewafatan baginda dipertahankan kerana dakwah juga. Buktinya, kita melihat Rasulullah diberi ilmu melalui wahyu namun baginda juga diberi fikrah melalui wahyu. Surah pertama surah Al-Alaq dan surah kedua pula Al-Mudassir, menunjukkan kepentingan ilmu dan fikrah dakwah.

Firman ALLAH dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:
"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

Ada kalimah rahmat yang ALLAH sebutkan dalam ayat di atas. Rahmat hanya menaungi alam ini apabila Islam menguasai bumi. Maka, dengan dakwahlah Islam berkembang dalam jiwa-jiwa manusia oleh para dua'at di zaman Rasulullah seperti Abu Bakar r.a, Uthman Ibn Affan, Umar Al-Khattab, Mus'ab bin Umair, Saidina Ali dll diikuti pula ulama pada zaman berikutnya, Ibn Taimiyah, Ibn Jauzi, Imam Al-Banna dan seterusya.

Dan rahmat ini kita nikmati hari ini. Nikmat IMAN dan nikmat ISLAM. Itu kisah kita. Mari renungkan manusia disekeliling kita.


REALITI SEMASA

Kekuatan Islam semakin lama semakin tergugat dan pudar. Tersepit di celah undang-undang wadh’ei (buatan manusia) yang mengaburkan mata manusia. Hati-hati menjadi semakin malap dilindungi kilauan dunia yang palsu semata-mata. Masa semakin jauh menyedarkan kita tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul semakin berat.

Manusia semakin lalai, tidak sedar tentang tugas sebenar mereka. Kita tidak hairan jika mereka ini orang-orang kafir dan kufur dengan perintah ALLAH kerana mereka hanya menyeru kepada kemungkaran dan kesesatan yang nyata.


Amat menyedihkan apabila kita sedar bahawa mereka ini terdiri daripada ahli keluarga, sahabat karib dan masyarakat sekeliling kita yang beriman kepada ALLAH ta’ala dan rasulNya. Mereka bersikap nafsi-nafsi bak kata pepatah “kubur lain-lain”, hanya memperbaiki diri sendiri dengan tanggapan dapat melepaskan diri sendiri dari ancaman dunia dan akhirat.

Ada diantara mereka yang mempunyai tanggapan bahawa jika dia sudah memperbaiki dirinya maka ia sudah tidah berkewajipan lagi untuk memperbaiki orang lain. Hujah yang digunakan ialah ayat al-quran:

Firman ALLAH ta’ala: “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat bila kamu telah mendapat petunjuk.” (al-Maidah : 105)



TANGGUNGJAWAB DAKWAH

Melihat kerosakan masyarakat Islam yang semakin membarah tentunya memanggil jiwa orang-orang beriman untuk berfikir sejenak. Ia menuntut satu pengorbanan yang segera. Rasulullah SAW didatangkan ke dunia ketika masyarakat dunia hidup dalam kegelapan undang-undang hutan. Maka bermulalah dakwah secara sembunyi dan meningkat kepada dakwah terang-terangan.

Masyarakat mengenal iman, kasih-sayang, kesatuan, kepimpinan Islam, kesejahteraan dan kejayaan kekuasaan Islam. Angkatan yang dibina Rasulullah mempertahankan Islam dengan segala yang mereka miliki, kerana mereka cintakan dakwah.


Tentu kita tersentuh dengan kisah dakwah Mus'ab Ibn Umair, pemuda Mekah yang menjadi da'i pertama ke Madinah. Tugas beliau selepas Islamnya ialah menyampaikan Risalah Islam kepada penduduk Yathrib. Maka berangkatlah pemuda ini ke Yathrib, bersama rombongan pertama Madinah. Beliau seorang pemuda yang dipisahkan dengan keluarga dan harta kekayaan kerana urusan kalimah Lailahailallah. Di sinilah letaknya kemuliaan seorang Muslim.



APAKAH KITA MERASAINYA?

Hari ini kita sibuk dengan dunia kita. Begitu cetek kehidupan kita.

Dunia pelajar. Dunia doktor. Dunia guru. Dunia pensyarah. Dunia peniaga. Dunia jurutera. Dunia saintis. Bahkan dunia ustaz! Hingga kita terlupa bahawa sahabat-sahabat Rasulullah juga berniaga, belajar, penjelajah, penakluk kota, pemikir, dan pemimpin masyarakat. Tetapi mereka tidak pernah memisahkan kehidupan mereka dengan amar ma'ruf nahi mungkar. Mereka saling memperingati, ijnis bina nu'min sa'ah!


Jadilah sesiapa pun kita, janganlah kita memisahkan diri kita dengan tugas hakiki ini - mengajak manusia kepada ALLAH. Tentunya ia bermula dari dalam diri kita - mengajak aqal, nafsu dan nurani kepada pengagungan ALLAH. Kerjaya kita hanya ALAT manakala dakwah adalah MATLAMAT. Apalah gunanya kita sibuk mengejar alat jika matlamat kita TERABAI. Jika alat menyebabkan kita susah mencapai matlamat, kita harus BERANI MEMILIH. Rezeki ALLAH itu Maha Luas.
  
HARUSKAN PERUBAHAN

Ayuh sahabat, mari berdakwah! Mengajak manusia kepada ALLAH. Bangunlah para pemuda, janganlah terleka dengan urusan peribadi dan keluarga sehingga terlupa tanggungjawab khalifah.

Kita sudah ada kefahaman cuma semangat yang tiada. Jika ada pun macam “chipsmore”, sekejap ada sekejap tiada.
Kita sudah ada kefahaman cuma ilmu tiada atau kurang. Disergah hanya basic seperti bab akidah kita terus mengalah dan tidak mahu mencuba.

Kita sudah ada kefahaman cuma tiada kelebihan bercakap dan menulis. Soft skill tiada.
Kita sudah ada kefahaman cuma mekanisme dan pendekatan selalu tersilap dan tidak kena pada tempat.

Dan banyak lagi alasan kita. Sesungguhnya, Al-quran awal-awal lagi sudah menjawab segala persoalan dan masalah kita.


Ana tidak layak?

“ Dan supaya Dia mengetahui orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah berperang di jalan ALLAH, atau menangkislah.’ Mereka berkata, ‘Sekiranya kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentu kami mengikuti kamu.........”(3:167)

Itulah jawapan golongan munafik apabila disuruh kepada mereka untuk berperang. Maka, kita juga sekiranya memberikan alasan tidak mampu untuk berdakwah dan berjihad, maka berhati-hatilah. Golongan munafik itu tempatnya adalah di neraka paling azab.


Ana tidak mampu?

Tanggungjawab untuk berdakwah dan berjihad ini tergalas dibahu kita. Sekiranya telah dipertanggungjawabkan kepada kita maka pasti ia dalam batas kemampuan kita kerana itu janji ALLAH, bahawa dia tidak akan menguji kita lebih dari kemampuan diri.

“Maka berperanglah kamu di jalan ALLAH; kamu tidak dibebani kecuali dengan diri kamu sendiri. Dan gesalah orang-orang mukmin, mudah-mudahan ALLAH akan menahan kekuatan orang-orang yang tidak percaya, dan ALLAH adalah lebih kuat dalam kekuatan, lebih keras dalam hukuman.” (4:84)


Ana Takut?

“........Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka takut kepada ALLAH atau dengan lebih takut, dan mereka berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau menetapkan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau menangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat? Katakanlah, ‘Kesenangan dunia ini sedikit dan akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dizalimi sedikit pun.’” (4:77)

Ketakutan itu adalah fitrah dan lumrah makhluk yang bernama manusia. Sahabat-sahabat Nabi SAW juga takut dan gerun apabila berperang. Namun, ketakutan itu bukanlah alasan menjadikan mereka lemah. Sebaliknya ketakutan itu dilawan dengan mujahadah untuk rindukan sebuah kematian bernama syahid. Dan ALLAH sering mengingatkan kita, matlamat kita yang paling utama adalah akhirat dan syurga itu sebaik-baik tempat untuk kembali.


Ana Lemah?

“Dan berapa ramainya Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa dan mereka tidak menjadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak patah semangat, tidak pula tunduk dan ALLAH menyukai orang-orang yang sabar.”(3:146)


Itulah janji ALLAH apabila ALLAH memberikan contoh para nabi sebelumnya yang telah diseru kepada mereka dan kaum mereka untuk berperang dan keyakinan mereka kepada ALLAH, bahawa ALLAH memelihara mereka dan tidak mensia-siakan usaha mereka, lantas mereka tidak merasakan lemah dan tidak tunduk kepada golongan yang ingkar kepada ALLAH.

Manusia itu memang diciptakan ALLAH secara semulajadi lemah. Akuilah kita insan yang lemah dan tidak berupaya tanpa pertolongan ALLAH. Namun, ALLAH tetap memilih kita untuk berperang dan berdakwah kerana itu adalah tanggungjawab. Maka, alasan lemah tidak sesekali diterima ALLAH di hari perhitungan kelak.


Ana berasa tidak cukup?

“Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus, jika ada antara kamu seratus, mereka akan mengalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (8:65)

Kita sentiasa merasakan diri serba kekurangan, tidak cukup harta, tidak cukup tenaga, tidak cukup orang untuk berperang bersama kita, tidak cukup masa, tidak cukup bekalan bersama kita.


Itulah alasan yang kerap kita berikan apabila diseru berperang dan berdakwah. Percayalah, jika kita benar ikhlas kerana ALLAH, ALLAH akan mencukupkan segalanya buat kita. Kecukupan bukan bermaksud apabila kita berperang kemudian kita menjadi kaya raya, diberi masa 48 jam sehari atau rakan taulan perjuangan yang berlipat ganda.

Kecukupan itu adalah kita sendiri merasakan syukur dan merasa cukup dengan semua nikmat yang telah ALLAH bagi sehingga kita tidak akan meminta-meminta itu dan ini dari sesiapa pun.


Ana tidak suka?

Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu, ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui ( 2:216)

Fitrah manusia tiada siapa pun yang suka kacau-bilau, bunuh-membunuh dan huru-hara peperangan. Namun, ALLAH itu Maha Mengetahui apa yang terbaik. Telah ditentukan berperang itu jalan terbaik buat kita hamba-Nya maka itulah yang terbaik.


Kehidupan kita bukan berlandaskan apa yang kita suka. Rasa suka sepanjang masa itu adalah dicipta dari nafsu. Nafsu memang sukakan kesenangan dan tidak suka kepada kesusahan. Berperang dan berdakwah itu adalah sesuatu yang kita tidak suka maka ia adalah cara terbaik untuk bermujahadah menundukkan nafsu.


BANGKITKAN SEMANGAT DAN MOTIVASI

Fitrah manusia suka mencipta pelbagai alasan. Tidak ada manusia yang sempurna. Penuh dengan khata' dan nisyaan. Kesalahan. Dosa. Kita bukanlah sekolompok jamaah malaikat. Setiap orang bakal melakukan kesalahan, lupa, tetapi yang penting proses pentarbiyyahan tidak ditinggalkan. Memperbaiki dan menyedarkan semua. ISLAH NAFSAK WAD'U GHAIRAK.


Lakukanlah setiap amal dengan penuh keikhlasan dan mujahadah. Penjagaan dari aspek ruhiyah sangat penting dalam membina ruh dakwah dalam diri. Kekuatan itu datang dari ALLAH, tiada siapa dapat memudharatkan kita selain izinNya.
tarbiyyah maadalhayah

"Sesungguhnya syurga itu manis kerana perjuangan itu pahit. Jom kita sama-sama berlari ke syurga. Ayuh sama-sama jadi jutawan akhirat. TAKBIR! ALLAHU AKBAR!"

 
Copyright© All Rights Reserved http://atikahhumairah.blogspot.com/