SaHaBaT FiLLaH

Monday, May 30, 2011

WAHAI JIWA-JIWA YANG DITARBIAH...

Setiap daripada kita akan menjadikan tarbiah sebagai jalan hidup. Mentarbiah dan ditarbiah. Kedua-duanya akan berjalan seiring. Tidak bisa jika salah satu daripadanya ’lemas’ daripada hidup seseorang itu. Manusia yang mentarbiah tetap ditarbiah. Jika tidak ditarbiah oleh murobbinya, dia ditarbiah oleh Tuhannya.

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Masakan kau merasa lemah tatkala ujian Allah singgah ke jiwamu. Jiwamu bukan jiwa yang ’gersang’ tetapi telah diisi dengan ’nur’ dan kefahaman. Kefahaman bahawa mentarbiah bukanlah satu usaha yang senang.

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Sekalipun ’tikaman’ lidah sentiasa menyebabkan kau terluka, kau harus tabah. Saat kau dicemuh, dipulau, dipandang enteng usahamu, tidak mengapa. Bukankah itulah kemanisannya buatmu?

Ingatlah kata-kata ini yang sering menjadi pengubat jiwa tatkala diri rasa ’jatuh’ ’dibunuh’ dengan ujian,
Kemanisan dalam berdakwah apabila hadirnya penentangan.

Indah bukan?
Tidak semua mampu merasainya. Tidak semua mampu mengecapinya. Dan kita memilihnya kerana kita mahu menjadi yang terpilih merasai ’nikmat’ kejatuhan dan kesusahan ini. Namun,

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Kadangkala, dirimu cepat melatah tatkala ujian menjadi ’makanan’mu.

Usrah?

Program?

Taklifan?

………….????

Segalanya kau tinggalkan hanya kerana segulung ijazah menanti.

Menilai diri sendiri itulah terbaik dalam mencari pengajaran.
Usah melihat dan menunding orang lain atas kebejatan kerja dakwah kita.
Cukuplah diri sendiri sebagai medan refleksi membangkit ummah.



Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Bertanyalah kembali di dalam dirimu. Dimanakah kedudukan Illahi di dalam hatimu? Adakah padaNYA hanyalah ’sisa-sisa’ perasaan selepas perasaan cinta pada dunia atau di mana kau meletakkan kedudukannya dalam hidupmu?

Wahai jiwa-jiwa yang ditarbiah,

Ruang dakwahmu luas terbentang di depan mata.
Cukuplah Dia saksi bahawa lelahmu untuknya bukan yang lain.

Tidak pada masyhur agar dikenal kencangnya dakwahmu.
Bukan untuk dipuji luhurnya jiwamu mentarbiah manusia.

Sekali-kali tidak juga untuk digelar ilmuan yang tinggi ilmunya.
Tidak juga untuk menyebabkan dirimu terhumban ke neraka dek ’ujub yang bermaharajalela di hatimu.

Cukuplah ’dunia’ semalam yang melalaikan.

Bangkitlah menilai dan bermuhasabah. Jika dirimu yang ditarbiah ’menyerah’ kalah, siapa lagi yang mahu mengambil tahu kerja tarbiah ini.

Peringatan buatku- “Sangatlah dibenci di sisi ALLAH jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
 
Copyright© All Rights Reserved http://atikahhumairah.blogspot.com/